Monday, February 1, 2010

Pasar Tani Siswazah Pertama Malaysia Dilancar Di Gombak

Pasar Tani Siswazah Pertama Malaysia Dilancar Di Gombak Ahad Ini


KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Pasar Tani Siswazah akan dilancar buat pertama kali di Taman Bullion Mewah, Batu Muda, Gombak Ahad ini dalam usaha menggalakkan para siswazah terlibat dalam bidang keusahawanan.

"Pasar Tani Siswazah ini juga akan bertindak sebagai pusat latihan tidak formal dalam usaha institusi pengajian tinggi menggalakkan para siswazah mereka menceburi bidang perniagaan dan perusahaan asas tani untuk mengelakkan kebergantungan terhadap pasaran kerja di sektor kerajaan atau swasta," menurut kenyataan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) pada Khamis.

Katanya pasar tani itu akan dibuka pada setiap Ahad mulai 7 pagi hingga 12 tengah hari di kawasan berhadapan Sekolah Kebangsaan Seri Nilam.

Untuk permulaan, pasar tani itu melibatkan 42 orang siswazah yang terdiri dari Universiti Kuala Lumpur (23), Universiti Teknologi MARA Tunas Mekar (6), Universiti Islam Antarabangsa (11) dan Universiti Teknologi MARA (2), selain 41 orang usahawan setempat, menurut FAMA.

FAMA berkata pasar tani yang dikelolakannya dengan kerjasama Universiti Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Badan Kebajikan UMNO Bahagian Batu akan dilancarkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.

Sempena majlis pelancaran itu, FAMA akan turut mengadakan jualan istimewa termasuk buah nanas Josaphine yang akan dijual pada harga RM1 sebiji, cili merah RM5.50 sekilo, kubis RM1.50 sekilo, pisang lemak manis RM2 sekilo, sengkuang RM1 sekilo dan timun RM1 untuk 3 kilo.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment